Gambar Arkib MG

PETALING JAYA – Gardenia telah mengumumkan kenaikan harga untuk 30 jenis produknya antara tiga hingga lima peratus bermula 1 Oktober.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata, kenaikan harga itu tidak membabitkan roti putih.

Beliau berkata, notis daripada Gardenia menunjukkan kenaikan harga kebanyakannya membabitkan roti berinti.

“Roti putih tidak ada dalam notis daripada Gardenia dan ini bermakna tiada kenaikan harga.

“Buat masa ini, kami hanya menerima notis kenaikan harga daripada Gardenia dan tidak daripada jenama lain,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kenaikan harga antara membabitkan Gardenia Puazz Sambal Bilis daripada RM1.50 kepada RM1.60, Gardenia Double Choc Muffins daripada RM2.20 kepada RM2.30 dan Gardenia Auntie Rosie Kaya Original daripada RM3.50 kepada RM3.80.

Menurut notis itu, kenaikan kos penggajian, peningkatan kos elektrik dan gas asli serta bahan mentah menjejaskan hasil Gardenia.

Notis itu antaranya menyebut kenaikan harga gluten sebanyak 72 peratus, yis sebanyak 50 peratus dan gula sebanyak 38 peratus.

Keadaan tersebut mendorong syarikat menyelaraskan harga produk secara kecil-kecilan untuk menghadapi impak daripada kenaikan kos pengeluaran.

Mengikut rekod, Gardenia pada September tahun lalu telah menyelaraskan harga untuk 53 produk roti dan makanan keluarannya, termasuk roti putih. – MalaysiaGazette