Foto pertemuan yang dikongsi Hamzah di media sosialnya.

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP yang keluar parti, P. Ramasamy menafikan khabar angin bahawa beliau akan menyertai Perikatan Nasional (PN) susulan pertemuannya dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini.

Ramasamy berkata, beliau telah dijemput untuk bertemu dengan Hamzah minggu lalu di ibu negara bersama-sama bekas ADUN (DAP) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas ketua cawangan DAP Kampung Jawa Auto City, David Marshel

“Minat saya untuk bertemu dengan Hamzah hanyalah untuk memastikan agenda politik PN dan bagaimana gabungan itu akan menangani hak orang bukan Melayu amnya dan orang India khususnya.

“Dengan kata lain, semata-mata misi mencari fakta bukan rasmi di tengah-tengah perbualan yang mesra.

“Adakah terdapat apa-apa yang salah dengan pertemuan ini? Adakah saya melanggar mana-mana undang-undang suci di negara ini? Saya seorang lelaki bebas sekarang dan saya pasti akan melakukan apa yang saya anggap penting,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di sebuah portal.

Sementara itu menurut Ramasamy, Hamzah mencadangkan kemungkinan terdapat keperluan untuk menubuhkan satu parti untuk kaum India.

Cadangan itu susulan persoalan yang dilontarkan mengenai agenda PN untuk bukan Melayu amnya dan India khususnya.

“Hamzah menjawab dengan mengatakan bahawa walaupun terdapat beberapa tahap sokongan kaum India, persoalan utama ialah bagaimana untuk mengintegrasikan kaum India dalam PN.

“Beliau mencadangkan bahawa mungkin ada keperluan untuk menubuhkan parti politik India pada satu ketika.

“Soalan saya ialah bagaimana parti India boleh ditubuhkan tanpa sokongan masyarakat di negara ini. Inilah intipati perbincangan antara saya dan Hamzah,” katanya.

Kedua-dua mereka bersetuju untuk mengadakan lagi pertemuan pada masa depan sekiranya terdapat keperluan.

Ramasamy turut mendedahkan beliau juga telah dijemput oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menghadiri perhimpunan tahunan ke-25 parti itu di Pulau Pinang.

Lima hari lalu Hamzah berkongsi foto bertemu bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan dua bekas pemimpin DAP yang mencetuskan spekulasi bahawa mereka akan menyertai PN.

Ramasamy yang tidak disenaraikan sebagai calon dalam pilihan raya negeri keluar DAP pada 10 Ogos lalu. – MalaysiaGazette