Fairul Nizam (tengah) mendengar aduan penduduk yang membantah pembinaan menara telekomunikasi di Taman Seri Songket, Batu Berendam, Melaka.

MELAKA – Kerajaan negeri menangguhkan sementara kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi di Taman Seri Songket, Batu Berendam, dekat sini, susulan mendapat bantahan penduduk.

Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya ia dapat diselesaikan secara situasi menang-menang kepada semua pihak.

Menurutnya, satu perbincangan akan diadakan dengan lebih terperinci bagi memastikan projek di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela) itu tidak dibatalkan.

“Sebenarnya, jika dibatalkan ia akan merugikan penduduk kerana mereka mengalami masalah capaian internet yang rendah di kawasan ini.

“Antara beberapa cadangan termasuklah mengubah kedudukan menara itu kerana penduduk bimbang kedudukannya yang dikatakan terlalu dekat dengan kawasan perumahan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun perlu dibincangkan lebih lanjut dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang pastinya tidak membenarkan menara itu dibina berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

“Sebab itu saya minta projek ini tidak dibatalkan kerana proses pembinaan ini bukanlah dibuat secara semberono sebaliknya telah mendapat persetujuan semua jabatan teknikal.

“Tapi bila penduduk bantah, kita akan duduk dan bincang semula bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk, Zahiruddin Osman, 44, berkata, mereka terpaksa membantah kerana tidak pernah dimaklumkan berkenaan projek tersebut yang dikhuatiri akan memberi kesan buruk terhadap kesihatan untuk tempoh jangka panjang.

“Kita bukannya menolak pembangunam teknologi tapi berharap kerajaan dapat memindahkan tapak menara telekomunikasi ini jauh sedikit dari sini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast