KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset akan dilaksanakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 10 Oktober depan.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook memaklumkan, kerja berkaitan akan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat bermula pukul 9 pagi.
Katanya, kerja-kerja tersebut dijangka siap pada 7 malam hari sama dengan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pukul 12 tengahari, pada 12 Oktober.
“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terlibat berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan bekalan air,” kata agensi itu.
Air Selangor menambah lori tangki air ke kawasan terjejas akan digerakkan dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Maklumat berhubung gangguan bekalan air boleh diketahui menggunakan aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – MalaysiaGazette