KUALA LUMPUR – Lima sekeluarga terselamat selepas rumah mereka di Jalan Kuala Kubu Baharu – Rawang, Hulu Selangor terbakar pada awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota dan jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bahru dan Sentosa telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Laporan awal pegawai bomba kami sejurus tiba di lokasi adalah kebakaran melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat berkeluasan telah terbakar 80 peratus sebelum anggota terlibat dalam usaha memadam dan mengawal kebakaran tersebut.
“Selain itu sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux juga didapati hangus terbakar 100 peratus dalam kejadian tersebut selain Toyota Estima terbakar 15 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati insiden pada jam 1.18 pagi itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.50 pagi.
“Siasatan awal kami mendapati kebakaran bermula di tempat letak kereta bahagian hadapan luar rumah tersebut.
“Semasa kejadian, lima orang ahli keluarga sedang berada dalam rumah berkenaan mereka sedang tidur.
“Tuan rumah lelaki berusia 63 tahun yang terjaga semasa kejadian dapat menyedari tentang kebakaran itu sebelum menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette