Alexander Nanta Linggi melakukan bayaran tol selepas majlis Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol SPT secara rasmi di Plaza Tol Loke Yew Lebuhraya Sungai Besi hari ini.

KUALA LUMPUR – Sistem kutipan tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) yang membolehkan pengguna lebuh raya membuat bayaran tol menggunakan kad debit atau kad kredit dilaksanakan secara rasmi di 11 lebuh raya, bermula hari ini.

Pelaksanaan SPT itu membabitkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Ia turut melibatkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan SPT itu menjadi alternatif baharu bagi kaedah pembayaran tol sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID.

“Objektif kita adalah untuk mudahkan pengguna membuat pilihan sebab sebelum ini hanya ada satu dua sistem sahaja dan mungkin adakalanya kad yang kita ada baki tidak mencukupi.

“Jadi sekarang pengguna ada pilihan lain untuk menggunakan SPT, ini juga adalah langkah awal dalam melaksanakan aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) kelak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol SPT secara rasmi di Plaza Tol Loke Yew Lebuhraya Sungai Besi hari ini.

Beliau berkata, 12 lebuh raya telah bersetuju melaksanakan sistem SPT setakat ini, namun pelaksanaan SPT di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dijangka hanya akan bermula hujung tahun ini bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi.

Dalam pada itu, Nanta berkata perbincangan berterusan sentiasa diadakan dalam usaha memperluaskan pelaksanaan sistem SPT itu di kebanyakan lebuh raya yang lain.

Pelaksanaan sistem SPT merupakan inisiatif Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat konsesi lebuh raya sejajar dengan kempen MYjalan bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya. – BERNAMA