KUALA LUMPUR – Polis telah selesai mengambil keterangan daripada seramai 10 individu untuk membantu siasatan pihaknya terhadap dakwaan kes rogol membabitkan pendakwah selebriti terkenal tempatan, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.
Timbalan Ketua Polis Negara Komisioner Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keterangan yang dirakam itu termasuklah Ebit, pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo serta aktivis Ariz Ramli atau Caprice.
“Dalam kes ini, ada lagi beberapa individu yang akan dipanggil.
“Kita dalam proses menyiapkan kertas siasatan dan ada perkara teknikal sedang ditunggu iaitu laporan dari forensik,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berikutan penyandangnya Datuk Seri Mat Kasim Karim akan bersara wajib esok.
Dalam perkara berkaitan Ayob Khan juga menambah, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara selepas ia dilengkapkan kelak.
Pada 21 September lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis sedang menjalankan siasatan terhadap kes dakwaan rogol ke atas Ebit Lew di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Justeru, polis juga telah merampas telefon milik Mondy untuk ketelusan siasatan yang dikendalikan.
Dalam satu lagi perkembangan kes lain membabitkan siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee berkaitan dakwaan isu menafsir Al-Quran, Ayob berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi arahan lanjut.
“Kita telah merekod keterangan beliau (Howard) pada 26 September di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
“Polis menerima dua laporan membabitkan kes ini dan telah disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette