Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

BENTONG – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau kini menumpukan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Pelangai pada 7 Oktober ini, lantaran itu enggan melayan sebarang khabar angin mengenai Kabinet baharu yang dikait dengannya.

Menurutnya, pada masa ini beliau dan pasukannya betul-betul fokus untuk memastikan keputusan PRK DUN ini berpihak kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

“Nama terpanggil? Saya anggapan khabar angin dan saya tak fikir sangat serius sebab saya hendak tumpu kepada PRK Pelangai.

“Orang hendak tulis apa, tulis la, saya tahu la tulis ini untuk ambil perhatian pembaca, tapi saya hendak fokus PRK.

“Itu hanya khabar angin, saya ini orang parti dipanggil, saya datang dan disuruh, saya pergi, tapi yang keluar kabar angin itu hanya khabar angin, tak sahih,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan nama Wan Rosdy antara yang tersenarai dalam barisan Kabinet baharu yang akan dirombak selepas PRK Pelangai.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau tidak tahu apa motif mereka membuat kenyataan sedemikian ketika Barisan Nasional sedang menghadapi PRK.

“Keutamaan saya PRK PRK Pelangai kerana ia menjadi penentu kepada masa depan dan pembangunan untuk penduduk di sini.

“Kita mahu menang pemilihan, ini bukan satu perkara yang rumit bagi saya sebab kita cuma mahu mengantikan calon BN yang meninggal dunia, itu adalah proses biasa.

“Saya perlu adakan pilihan raya untuk menggantikan beliau dan calon daripada BN dan UMNO juga,” tambahnya.

Justeru beliau berharap rakyat di Pelangai memberikan sokongan dan yakin kepada BN untuk terus memimpin dengan memberi undi kepada calon BN.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan Amizar dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasmi.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). – MalaysiaGazette