BENTONG – Majlis penyerahan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat daerah Bentong di sini hari ini bukan kempen politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pelangai.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan tanggungjawabnya dan perlu digalas setiap masa tanpa mengikut musim kempen pilihan raya atau pun tidak.
“Saya buat kerja saya sahaja, sebagai menteri besar yang dipilih rakyat, ini adalah program kerajaan yang kita buat seperti biasa, jadi secara kebetulan hari ini di daerah Bentong dan mereka dipilih di sini (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pelangai).
“Perkara yang tidak boleh kita pakai baju parti, kita beri duit kepada mereka yang datang. Yang hadir bukan semuanya pengundi, saya tak tahu tapi hanya menerima jemputan,
“Saya banyak berada di Bentong dan Pelangai dalam masa terdekat. Jadi mereka pilih di sini, kalau tidak saya tidak dapat hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di SMK Seri Pelangai selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat daerah Bentong hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nurul Akmal Mohd Fauzi dan Ahli Parlimen Bentong, Young Shefura Othman.
Dalam pada itu Wan Rosdy merakamkan penghargaan kepada Yayasan Bank Rakyat atas tanggungjawab sosial yang dijalankan kepada 400 penerima yang merupakan pelajar sekolah. – MalaysiaGazette