KUALA LUMPUR – Semua aset milikLembaga Tabung Haji (TH) yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) akan dipulangkan semula kepadanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas MOF berpuas hati dengan isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini.
Keputusan itu, tambah beliau, membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan di bawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali, sekali gus mematikan fitnah tersebut.
“Saya sudah beritahu dari awal sejak ambil jawatan ini, seandainya TH diurus dengan baik dan menyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanhkan kepada SPV kepada TH.
“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.
Turut sama hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
Dalam pada itu ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan telah mula berbincang untuk mengembalikan aset tersebut secara berperingkat bagi memastikan pulangan yang dibuat berjalan dengan baik.
Anwar berkata, kerajaan turut memantau prestasi kewangan TH yang terus memulih, khususnya selepas bergelut isu kepincangan sebelum ini.
“Masa itu saudara Mujahid Rawa (Datuk Seri Mujahid Yusof) sebagai menteri beri usul dan MOF ambil alih. Keadaan Tabung Haji ketika itu menghadapi masalah kewangan.
“Sekarang dengan pengurusan baharu lebih cekap, dapat beri keyakinan dan pengurusan lebih mantap…jadi, MOF sedang berunding memindahkan semula aset dipegang MOF kepada TH,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut akan meminda Akta Tabung Haji (TH) bagi menambah baik pengurusan dan kecekapan lembaga berkenaan.
Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta tersebut akan dibentang di Parlimen selewat-lewatnya pada sesi Parlimen awal tahun depan.
“(Kerajaan) akan meminda Akta TH bagi memenuhi maksud maqasid bukan saja pengurusan tapi juga kecekapannya untuk berfungsi memberi penghayatan kepada ibadah umat Islam.
“Kita akan cuba.. kalau tak sempat sesi Parlimen November ini, saya cuba awal tahun depan akan dibentangkan,” katanya. – MalaysiaGazette