Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim menyerahkan tongkat kuasa kepada pemangkunya Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Deputi Komisioner Datuk Mohd Nasri Omar akan memangku jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Mohd Nasri yang kini merupakan Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan/Kawalan/Lalulintas/Pengurusan Saman) di jabatan berkenaan dilantik memangku jawatan itu selepas penyandangnya Komisioner Datuk Seri Kasim Karim bersara wajib esok.

Majlis Serah Terima Tugas itu telah dihadiri dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di majlis penuh beristiadat di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Pusat Latihan Polis Bukit Aman hari ini.

Bercakap dalam ucapannya Ayob Khan menyifatkan Mat Kasim sebagai seorang pegawai kanan yang suka menenangkan keadaan semasa mengendalikan sesuatu isu.

Ujarnya, pucuk kepimpinan PDRM di Bukit Aman akan kehilangan khidmat baktinya kerana beliau akan bersara.

‘Persaraan Mat Kasim pasti akan meninggalkan legasi tersendiri dalam lipatan sejarah PDRM khususnya JSPT.

“Sepanjang menerajui JSPT, beliau memainkan peranan penting dalam memastikan jabatan ini menambahbaik saluran penyelesaian saman trafik PDRM melalui platform atas talian pada Mac 2021 dengan memperkenalkan Portal dan Aplikasi myBayar PDRM dengan ciri-ciri baharu yang memudahkan akses masyarakat.

“Melalui aplikasi berkenaan, sebanyak 58 peratus saman telah berjaya diselesaikan secara dalam talian pada tahun 2022,” katanya lagi.-MalaysiaGazette