Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis masih sedang menunggu beberapa maklumat lanjut berkaitan aspek teknikal diperlukan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memohon senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan, aspek teknikal itu melibatkan maklumat dari sudut perundangan, kesalahan dan sebagainya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan menghantar permohonan rasmi kepada Interpol sebaik sahaja maklumat yang diperlukan lengkap.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai status terkini siasatan terhadap menantu Muhyiddin.

Terdahulu beliuu menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini membabitkan penyandangnya Datuk Seri Mat Kasim Karim dan pemangkunya Timbalan JSPT Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Nasri Omar.

Antara pegawai kanan tertinggi PDRM yang turut hadir memeriahkan majlis adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Jababatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Difahamkan, Interpol akan membuat keputusan kemudian sama ada memuat naik notis merah di domain awam atau domain dalaman pihak penguat kuasa sahaja.

Sebelum ini, media pernah melaporkan bahawa SPRM akan memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin ke dalam senarai notis merah Interpol jika kesemua individu berkenaan gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan di mahkamah.

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast