Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang diingat supaya tidak salah membuat pilihan calon pada hari mengundi Sabtu minggu depan.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka perlu memilih calon dari parti yang terbukti mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran iaitu Barisan Nasional (BN).

“Kempen PRK DUN Pelangai sudah berlangsung seminggu. Ada baki seminggu lagi untuk penduduk khususnya pengundi membuat pilihan.

“Saya menyeru semua pengundi buatlah penilaian dan pilihan tepat berdasarkan kedudukan serta track record membabitkan calon yang bertanding.

“Antara BN yang bersama Kerajaan Perpaduan dan Pas yang membawa Perikatan Nasional (PN), maka lihatlah keseluruhan bagaimana keberhasilan sepanjang pentadbiran mereka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut beliau yang dikenali Ku Nan, kedua-dua parti itu pernah menerajui kerajaan namun apakah sumbangannya.

Jelasnya, BN yang hari ini menjadi pentadbir kerajaan negeri Pahang dan bersama dalam Kerajaan Perpaduan di Persekutuan tetap teguh memperjuangkan kestabilan dan kemakmuran dengan apa-apa perkara adalah menjurus kepada kepentingan keseluruhan rakyat serta masa hadapan negara.

“Malah pelbagai hasil dalam negara termasuk di DUN Pelangai pun, terhasil daripada sumbangan keupayaan pentadbiran BN.

“Juga hari ini, sepanjang kempen dilaksanakan jentera BN termasuk calonnya lebih tertumpu kepada usaha yang memberi kepentingan kepada rakyat seperti kemajuan dan pembangunan.

“Malah, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menekankan konsep 3P iaitu Penempatan, Pekerjaan dan Pendapatan,” katanya.

Kata Tengku Adnan, ini berbeza dengan kempen PN berasaskan politik kebencian, fitnah, adu domba, manipulasi dan memburukkan UMNO serta BN.

Katanya, PN masih menggunakan isu lama termasuk sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP, sedangkan dalam gabungan tersebut ada 19 parti terlibat.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Perpaduan yang mengemudi negara hari ini sejak 10 bulan lalu telah menoktahkan krisis politik dan rakyat secara beransur-ansur mula kembali sejahtera.

Begitu juga kerajaan Pahang diterajui BN dapat mengurus negeri dengan baik, ada pelaburan dan kewangan negeri yang tersusun, tetapi malangnya semua itu tidak dilihat oleh PN kerana mereka lebih gemar berpolitik daripada bekerja.

“Kesan lebih besar adalah pentingnya pentadbiran DUN selari dengan pengurusan kerajaan negeri yang ada di bawah BN dengan kerajaan pusat agar pelbagai perancangan pembangunan dapat dilaksana secara terus dan lancar.

“Dalam hal ini, ambillah contoh Parlimen Putrajaya yang semakin terpinggir lantaran wakil rakyatnya tidak selari dengan kerajaan Persekutuan. Maka, kerana itulah wakil rakyat Putrajaya sentiasa banyak alasan sedangkan amanah kepada rakyat melangkau pelbagai perkara.

“Semasa bertanding, pelbagai janji ditabur, namun apabila dah menang lain jadinya dan rakyat yang menjadi mangsa atas alasan bukan kerajaan pusat, bukan menteri dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lawak KELDAI TUA dari UMNO. Elok je rakyat sihat era PH-T M dulu siap sumbat penjenayah-penjenayah UMNO serta cacimaki UMNO. Tak susah pun rakyat. Cuma orang UMNO sahaja tak boleh celok project.
    Jadi kenapa rakyat perlu percaya UMNO? ANWAR IBRAHIM pun hina dan maki UMNO… perkara ni bukan lama pun… beberapa bulan lalu je… CARI video video PRU 15…

Comments are closed.