Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 yang bermula esok hingga 5 Oktober ini.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama kerajaan Sabah dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) itu akan berlangsung di Kota Kinabalu.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, IJPAM Sabah 2023 adalah kesinambungan kejayaan IJPAM 2022 yang diurusetiakan jabatan itu untuk julung kali diadakan pada 1 hingga 5 November tahun lalu di UNITEN Bangi, Selangor.

“Tahun ini, Sabah telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menerima penyertaan seramai 2,000 peserta delegasi dari agensi agama persekutuan di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Peserta juga dari agensi agama peringkat negeri termasuk Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendakwaan Syariah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, pelbagai pengisian program diadakan sepanjang IJPAM Sabah 2023 yang bermatlamat meningkatkan kesepaduan dan kebersamaan antara agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri.

Ia katanya, bagi mencapai kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

Acara utama IJPAM Sabah 2023 adalah Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam pada 4 Oktober di Sabah International Convensyen Center (SICC) bermula jam 8.30 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan perasmiannya pada jam 8 malam yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Konvensyen bertemakan “Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Dalam Era Malaysia Madani” menampilkan empat tokoh yang akan membentangkan kertas kerja masing-masing.

Mereka ialah tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin; dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Sesi pembentangan kertas kerja dipengerusikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang juga Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama, JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Majlis Penutupan IJPAM Sabah 2023 akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Naím Mokhtar pada 5 Oktober jam 9 pagi di Stadium Likas, Sabah. – MalaysiaGazette