KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjaga pegangan bumiputera agar tidak menjadikan tindakan menjual aset sebagai amalan.
Tegas beliau, amalan yang digunakan itu untuk menyelamatkan kepentingan koporat mengakibatkan mereka berganjak daripada matlamat asal untuk menyelamatkan ekonomi bumiputera.
Anwar berkata, pengurusan dan tata kelola yang lemah serta pembaziran menjadi punca beberapa syarikat mengalami kerugian namun rata-rata mengambil jalan mudah dengan menjual aset untuk menyelamatkan syarikat.
“Setelah saya kembali dalam petadbiran kerajaan sekarang saya dapati ada beberapa syarikat asas bumiputera berganjak daripada matlamat asal yang mana pegangan untuk menyelamatkan ekonomi bumiputera itu dipinggirkan.
“Apabila pengurusannya lemah, kerugian bertambah membuatkan mereka ambil cara mudah dengan menjual aset untuk menyelamatkan syarikat dan ia adalah keputusan yang sangat tidak waras atau tidak bijak.
“Amalan seperti ini perlu diubah dan harus diingatkan (mana-mana syarikat yang menjaga kepentingan bumiputera) pertamanya pengurusan perlu cekap dan kedua walau apa sekalipun berlaku tidak boleh mudah lepaskan pegangan dan kepentingan asal semata-mata nak kawal kepentingan syarikat.
“Jika ini tidak boleh buat, sampai bila kerajaan perlu bantu?,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines di Bertam di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Menurut Anwar, sudah tiba masanya setiap pengurusan syarikat mempunyai anjakan dan dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan tugas asas mereka supaya kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Jadi apa pun yang berlaku saya minta pengurusan yang ada sekarang di bawah PNB, Khazanah dan syarikat-syarikat kerajaan persekutuan serta negeri bahawa pengurusan mereka harus sangat cekap.
“Kedua apa saja keputusan mereka, mereka tidak boleh mudah melepaskan pegangan dan kepentingan asal untuk menjaga dan mengawal syarikat yang berpaksikan kepentingan bumiputera.
“Kalau tidak sampai berpuluh-puluh tahun balik kepada pangkalnya iaitu tubuh syarikat, salah urus tadbir, rugi kemudian kerajaan terpaksa bantu. Secara langsung kita akan ikut jalur yang sama dan ia tidak membantu menjana ekonomi bumiputera,” kata beliau.
Tambah beliau, kerajaan menitikberatkan soal pengurusan kerana ia adalah tanggungjawab untuk memastikan tidak ada masyarakat dan kaum terpinggir.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan dalam memberikan pendedahan awal mengenai literasi kewangan kepada pelajar dan mahasiswa dari peringkat awal.
“Kita akan bincang dengan kedua-dua kementerian itu supaya kempen pencerahan mengenai amalan menabung dan pelaburan saham boleh diperluaskan lagi di peringkat institusi pendidikan dan pengajian tinggi.
“Selain itu, guru-guru terpilih juga boleh diberikan latihan supaya pencerahan ini sampai ke peringkat bawah dalam memberi kesedaran tambahan kepada pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette