Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara kerana cemburu, seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila memukul teman wanitanya dalam kejadian di hadapan sebuah farmasi di Ampang, baru-baru ini.

Ketua Polis Derah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu telah bertindak kasar terhadap teman wanitanya yang berumur 21 tahun.

Ketika kejadian mangsa yang bekerja di sebuah farmasi telah didatangi oleh suspek dan meminta dia mengikutnya untuk pulang ke rumah mangsa.

“Pengadu (mangsa) cuba melarikan diri dan suspek telah mengejar pengadu lalu memukul pengadu. Suspek turut merampas telefon bimbit milik pengadu.

“Akibat kejadian, pengadu merasa sakit di bahagian mulut dan kaki dan pengadu telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azam memberitahu, mangsa telah membuat laporan polis dan sepasukan anggota polis telah melakukan serbuan di Jalan Cempaka, Taman Cempaka, Ampang semalam.

Suspek yang merupakan kelindan lori berjaya diberkas bersama sebuah telefon bimbit milik mangsa yang ada bersamanya.

Tambah Mohd Azam, berdasarkan siasatan suspek memiliki enam rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.

Katanya, ujian air kencing yang dilakukan terhadap suspek turut mendapati beliau positif dadah jenis Methaphetamin dan Amphetamin.

Kes disaiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksanaan kerana telah melakukan rompak sehingga mendatangkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 berserta sebatan.

Katanya, polis telah mendapatkan reman dan suspek ditahan selama lima hari untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast