GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor meluahkan rasa kesal terhadap sekumpulan lelaki yang mengulangi kembali tuduhan lama terhadap seorang pemimpin yang melakukan perbuatan liwat.
Tegas beliau, agama Islam amat mengambil berat dalam memelihara kehormatan insani dan tindakan kumpulan itu seolah-olah meremehkan jenayah qazaf yang dilarang keras agama.
“Hukuman ke atas pelaku jenayah ini juga dijelaskan dalam surah An-Nur ayat 19 iaitu dikenakan 80 kali sebatan sekiranya tidak mendatangkan empat orang saksi yang menyaksikan perbuatan itu secara yang tidak meragukan sama sekali.
“Penjenayah qazaf juga dikenakan hukuman moral-sosial dengan tidak diterima penyaksiannya selama-lamanya di samping hukuman keagamaan iaitu dia dianggap seorang fasiq yang diancam dengan siksaan neraka di akhirat nanti sebagaimana difahami daripada satu ayat di dalam surah as-Sajdah.
“Islam tidak membenarkan seorang Muslim melontar ungkapan buruk ke atas saudaranya baik di hadapan mahupun dalam ketiadaannya, sebaliknya Islam mengajar umatnya supaya menutup keaiban mana-mana individu di samping menghomati privasinya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Wan Salim, Islam juga melarang umatnya mencari-cari keaiban sesama Muslim.
“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud sekelian umatku dimaafkan dosanya kecuali seseorang yang sengaja melakukan perkara keji secara berterangan.
“Nabi juga bersabda kepada seorang lelaku yang memaksa Ma’iz supaya mengaku perbuatan zina sehingga dia dihukum: “Alangkah baik jika engkau menutupnya dengan pakaianmu!”.
Sehubungan itu, Wan Salim menyeru seluruh masyarakat Islam di negara ini supaya menghindari jenazah qazaf.
“Elakkan diri daripada terjatuh ke dalam jurang dosa besar, yang mana pelakunya diancam dengan balasan seksaan api neraka yang dahsyat.
“Malah, untuk menakutkan masyarakat daripada melakukan jenayah ini maka hukuman yang maksimum perlulah dikenakan ke atas pelakunya tanpa kasihan belas supaya masyarakat dapat dibersihkan daripada anasir yang keji ini.
“Selain itu, perlu saya tegaskan bahawa saya membuat kenyataan ini tanpa sebarang niat untuk membela orang tertentu tetapi untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 30 saat di TikTok menunjukkan sekumpulan lelaki mengulang kenyataan pemimpin utama negara sebagai peliwat. – MalaysiaGazette
Mufti hendaklah berilmiah dengan sumber rujukan nota kaki untuk QS as-Sajdah ayat berapa dan sumber rujukan nombor -nombor hadithnya.