Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama pelajar yang hadir pada progam semarak siswa Madani Pahang di Dataran Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OKTOBER 2023.

BENTONG – Pembangkang tidak akan mampu menunaikan janji-janji yang dibuat kepada rakyat semasa kempen pilihan raya di Pelangai kerana mereka bukan terdiri daripada blok kerajaan.

Oleh itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai agar tidak terpengaruh dengan janji yang ditaburkan mereka.

“Apa pun yang diperkatakan oleh pembangkang, mereka tidak mungkin dan memang tidak boleh tunaikan kerana mereka bukan kerajaan.

“Jadi janji ke apa, memang tidak boleh pakai sebab mereka tidak boleh laksana.

”Sebab itulah saya percaya masyarakat dan pengundi dalam kawasan ini bijak untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berkesan serta boleh mewakili dan dapat membantu mereka dalam berhadapan segala caran kehidupan,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata demikian ketika ditemui di Dataran Pelangai sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai dan lawatan kerja Program Semarak Siswa Madani Pahang hari ini.

Pada PRK Pelangai 7 Oktober ini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam melawan Kasim Samat (PN) Calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli. – MalaysiaGazette