KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing yang dikatakan terbabit dengan kejadian seorang wanita terjun dari kereta di Shah Alam dikenal pasti orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan berlaku akibat salah faham.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, siasatan mendapati lelaki berusia 26 tahun itu berdaftar dengan syarikat e-hailing secara sah.
“Pemandu itu juga menjelaskan tersalah jalan disebabkan masih baru dan cuba membuat pusingan U di Jalan Temasya, Glenmarie, pada masa yang sama pengadu membuka pintu kereta lalu keluar dari kenderaannya.
“Dia kemudiannya meneruskan perjalanan kerana ada permintaan pelanggan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, berdasarkan laporan pengadu iaitu wanita berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pramusaji membuat tempahan e-hailing pukul 9.30 pagi, 27 September lalu untuk mengambilnya dari LRT Glenmarie ke tempat kerja.
Katanya, semasa kejadian, pengadu duduk di bahagian penumpang belakang dan bertanya kepada suspek untuk membuat pembayaran secara tunai tetapi tidak dijawab serta pengadu menyedari suspek sering melihatnya melalui cermin pandang belakang.
“Bimbang keselamatan, pengadu bertindak turun dari kereta semasa kenderaan bergerak perlahan…pengadu tidak alami kecederaan,” katanya.
Hasil siasatan dilakukan, katanya, kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana salah faham.
Tambahnya, pengadu juga menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini selepas mengetahui kejadian sebenar.
Media semalam melaporkan, seorang wanita berdepan detik cemas ‘dilarikan’ pemandu e-hailing.
Menceritakan kejadian, pengusaha katering, Ayuni Dean, 44, berkata, kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika pekerjanya dalam perjalanan ke tempat acara di Glenmarie.
Ayuni dilaporkan berkata, pekerjanya dipanggil Neera menghubunginya meminta bantuan selepas terjun dari kereta berkenaan dan berlari menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette