Anwar pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di Ipoh, Perak hari ini.

IPOH – Perdana Menteri memberi jaminan sektor kesihatan dan pendidikan akan diberi keutamaan dalam Belanjawan Madani 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini.

Menurutnya, menerusi usaha itu, kerajaan akan memberi fokus kepada isu-isu yang membelenggu fasiliti kesihatan seluruh negara termasuk dalam soal kesesakan yang berlaku di hospital.

“Saya hendak tentukan dalam Belanjawan Madani kedua nanti, isu kesihatan terutama berkaitan klinik-klinik akan diberikan keutamaan termasuk rumah sakit (hospital).

“Ada orang kritik kononnya sejak Anwar jadi Perdana Menteri, hospital makin sesak, padahal memang begitu sejak bertahun-tahun. Padahal ia disebabkan peruntukan yang tidak cukup sampailah masalah itu jadi begitu rumit seperti sekarang.

“Jadi insya-Allah, saya akan pastikan dalam perbincangan dengan Jemaah Menteri dan juga dengan pegawai-pegawai kerajaan kita akan beri fokus kepada soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Majlis yang sama turut dihadiri Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menyentuh soal sektor pendidikan, Anwar mengulangi jaminan kerajaan bahawa semua sekolah akan dilengkapi dengan prasarana tandas yang baik menjelang akhir bulan ini.

Dalam pada itu, Anwar juga memberi gambaran kerajaan akan mungkin akan mencari solusi bagi mengurangkan tabiat pengambilan gula berlebihan terhadap makanan dan minuman dalam kalangan rakyat termasuk perhubungan kutipan cukai.

Hasil kutipan cukai itu akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi peruntukan terhadap rawatan seperti kencing manis dan sebagainya.

“Jadi kalau kita umpanya perkenalkan satu sistem, kita naikkan sikit (cukai) supaya (dapat) kita kurang penggunaan gula (dalam kalangan rakyat). Katakanlah hasil kutipan cukai itu mencecah RM1 billion atau RM500 juta setahun maka kerajaan tak akan ambil semua sebaliknya ia akan disalurkan kepada inisiatif untuk rawatan penyakit berkaitan dengan diabetes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast