KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang lelaki warga Sri Lanka yang ditahan atas dakwaan membunuh meninggal dunia dalam tahanan lokap di Jinjang, Sentul, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad memaklumkan, lelaki yang berusia 43 tahun itu mengalami sakit dada ketika berada dalam lokap itu sebelum disahkan meninggal dunia, malam tadi.
Katanya, lelaki itu ditahan pada 23 September lalu dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pada 11 malam tadi, OKT (orang kena tuduh) mengadu sakit dada dan pihak hospital segera dihubungi.
“Penolong pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) hadir memberi rawatan awal dan mengesahkan kematian.
“Bedah siasat akan dijalankan di HKL untuk mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut.
Warga Sri Lanka itu ditahan selepas penemuan tiga mayat lelaki dalam keadaan kaki dan tangan diikat serta kepala ditutup menggunakan plastik, dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, di sini, baru-baru ini. – MalaysiaGazette