KUANTAN – Skuad Sri Pahang FC nyaris kecundang di tangan Kuching City FC di laman sendiri malam tadi pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini selepas mengulangi kecuaian sama semasa berdepan KL FC, sebelum ini.
Ketua Jurulatihnya Fandi Ahmad juga mengakui kawalan longgar oleh pemainnya mengundang bahaya kepada skuad Tok Gajah sehingga Kuching City memperoleh sepakan percuma yang membolehkan pasukan pelawat menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-15.
“Kita menurunkan tempo permainan selepas menjaringkan gol pertama yang diperoleh secara penalti dan masalah timbul apabila Kuching City mendapat sepakan percuma.
“Para pemain kita tidak mengawal pemain lawan dengan baik sehingga melepaskan mereka menjaringkan gol penyamaan dan perkara sama juga berlaku semasa menentang KL City sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Sri Pahang mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Kuching City untuk meraih tiga mata berharga.
Gol pertama Tok Gajah diperoleh menerusi penalti yang disempurnakan Stefano Brundo pada minit ke-13 sebelum Kuching City menyamakan kedudukan menerusi tandukan Pedro Henrique selang dua minit kemudian.
Pasukan pelawat mendahului jaringan pada minit ke-25 melalui Abu Kamara sebelum Sri Pahang memperoleh gol kedua menerusi pemain tengah Kuvondik Ruziev pada minit ke-42 dan penyerang Rafael Da Silva menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61.
Fandi berkata kedudukan 2-2 pada separuh masa pertama memberi tekanan kepada anak buahnya sehingga memaksanya melakukan beberapa pertukaran pemain.
“Kita kurang menekan mereka tapi sebaliknya mereka yang menekan kita sehingga berjaya mendominasi permainan sebelum aksi Sri Pahang kembali meningkat pada babak kedua.
“Satu daripada faktornya ialah Stefano Brundo yang bermain di posisi pertahanan ditukar ke posisi tengah dan lebih menggembirakan saya apabila Rafael Da Silva berjaya mencipta jaringan pertama buat dirinya,” katanya.
Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak pula menyifatkan nasib kurang menyebelahi pasukannya walaupun sudah mencuba yang terbaik sepanjang perlawanan.
“Kita bermain dengan amat baik pada babak pertama tetapi babak kedua kita membenarkan mereka menyerang. Kita menerima keputusan ini dan akan melakukan penambahbaikan dalam pasukan.
“Walaupun sebuah kelab kecil, namun saya percaya Kuching City FC mampu pergi lebih jauh dan dapat menyesuaikan diri dengan latihan yang diberikan serta semakin berkeyakinan,” katanya.- BERNAMA