Memudahkan urusan ibu bapa untuk menghantar ke kolej kediaman apabila menginap percuma di Masjid UPM.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa pelajar yang baharu memasuki Universiti Putra Malaysia (UPM) mengucapkan terima kasih kepada Masjid UPM kerana menyediakan penginapan dan makanan percuma kepada mereka yang datang jauh untuk mendaftar anak di universiti itu di Serdang semalam.

Menurut seorang ibu, Tiborhana Alwi, 56, penginapan yang disediakan di masjid berkenaan telah meringankan beban kewangannya bagi menghantar anaknya mendaftar di UPM hari ini.

“Kita tidak payah bayar sewa hotel dan paling penting dapat berkenalan dengan kawan-kawan baharu ketika berehat di Masjid UPM.

“Lagi satu, saya pilih menginap di masjid kerana mudah untuk menghantar anak ke kolej kediaman dan tidak perlu berkejar-kejar kerana kita sudah berada di dalam kawasan UPM,” katanya di Facebook UPM di sini hari ini.

Masjid UPM menganjurkan Program Musafir Hana yang menjadikan Masjid UPM sebagai persinggahan sementara bagi pelajar dan keluarga dari perantauan untuk berehat dan tidur semalam pada 30 September lalu hingga semalam.

Program itu bertujuan menyediakan penginapan sementara kepada bakal pelajar dan keluarga pelajar yang tiada tempat tinggal ketika pelajar datang mendaftar.

Program Musafir Hana yang menjadikan Masjid UPM sebagai persinggahan sementara bagi pelajar dan keluarga dari perantauan untuk berehat dan tidur semalam.

Bagi bapa pelajar, Jamal Ja’afar menyatakan kesyukurannya kerana UPM telah menyediakan penginapan dan makanan semasa beliau menginap di Masjid UPM.

“Kami datang daripada Batu Pahat, Johor dan tidak terlalu mengetahui selok-belok di kawasan sekitar lagi-lagi pada musim pendaftaran pelajar baharu ini.

“Saya bersyukur kerana penginapan yang disediakan ini memudahkan urusan saya untuk menghantar ke kolej kediaman apabila menginap di Masjid UPM,” katanya.

Sementara itu, Sukarelawan Program Musafir Hana, Izadura Abdul Manan berkongsi pengalaman gembira kerana dapat berbakti kepada pelajar baharu dengan membantu urusan mereka dan ahli keluarga yang datang dari jauh.

“Saya rasa gembira apabila dapat melihat pelajar dan keluarga menginap di masjid UPM untuk berehat. Saya rasa terharu kerana dapat membantu memudahkan urusan para pelajar baharu bersama kelurga mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

7 Komen

  1. Alhamdulilah kemakmuran negara kita dapat dirasa bersama. berbanding negara lain rakyat mereka hidup macam enau dalam belukar. sanggup merompak dan guna ilmu santet

  2. Moga dijadikan inspirasi oleh universiti yang lain, tidak semua ibubapa mampu berbelanja lebih demi mendaftarkan anak mereka ke menara gading

  3. Tahniah pada pengurusan masjid..menjadi perintis menyediakan kemudahan bg musafir.moga masjid sentiasa diimarah dan menambahkan keimanan masyarakat malaysia.

  4. Usaha yg murni pihak Pusat Islam UPM…smoga bterusan mbantu klrga yg memerlukan bantuan…ganjaran bganda drp ALLAH SWT…. In Shaa Allah

  5. Tahniah UPM ini lah cara yg terbaik bgi membantu keluarga yg kurang kemampuan.
    Tahniah kapada pihak pengurusan UPM.

  6. Alhamdulillah. Semoga kesemua Universiti boleh buat begitu untuk meringankan beban ibubapa yang kurang kemampuan. Siapa tak nak tengok anak masuk U? Semua teringin…

  7. Satu cadangan yg baik dan universiti tempatan yg lain patut mengikut contoh UPM yg telah pratikan.

Comments are closed.