Penduduk dan golongan asnaf menerima bantuan pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Banyak penjimatan sehingga RM10 untuk membeli keperluan asasi menerusi Program Santunan Kasih Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Itu antara pandangan yang diberikan golongan asnaf dan juga penduduk di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak yang membeli-belah keperluan dapur mereka.

Program yang dilancarkan pada awal Januari tahun lalu yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan beban kos hidup rakyat.

Penduduk, Abdul Aziz Mohd Dalah bercakap kepada media pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

Menurut Abdul Azizi Mohd Dalah, 70, program ini amat memudahkan penduduk rumah PPR kerana mereka tidak perlu keluar jauh untuk membeli barangan dapur.

Selain itu, tawaran harga yang diberikan My Grocer juga amat berpatutan sehingga jimat RM10, sekali gus membolehkan beliau boleh membeli barangan lain.

“Kita boleh bandingkan dengan kedai luar atau pasar raya lain, harga kita boleh beli untuk kami yang tidak berkemampuan ini, semua barang okay cuma tidak boleh beli banyak.

“Cuma macam beras boleh beli satu beg je dan telur pun sama terhad, cuma boleh beli satu je setiap barangan itu tapi ia memberi banyak faedah pada rakyat.

“Saya dapat penjimatan RM10, jadi boleh lagi nak beli barang lain dan harga memang bepatutan dan murah. Pada masa sekarang, bagi rakyat amat perlu program ini diteruskan bagi menambah keperluan mereka (asnaf),” ujarnya.

Penduduk, Nik Hasimah Hassan bercakap kepada media pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

Pandangan sama turut dinyatakan Nik Hasimah Nik Hassan, 56, bahawa MAIWP perlu terus melaksanakan program seumpama itu ketika rakyat sedang terbeban dengan kenaikan harga barangan semasa.

“Amat membantulah sebab harga murah yang ditawarkan di sini, lepas tu memudah kita. Kalau ayam dekat sini dia tawar RM9 sahaja, dekat kedai luar sekilgram lebih RM10.

“Program ini beri manfaatlah terutama penduduk di kawasan sini lagi-lagi untuk orang yang memerlukan macam kami ini golongan asnaf,” katanya.

MalaysiaGazette dimaklumkan seramai 21,898 golongan asnaf di Kuala Lumpur telah menerima bantuan tambahan keperluan asasi sebanyak RM150 sebulan yang dikreditkan melalui e-wallter.

Orang ramai boleh membuat pembelian di lori bergerak Mygrocer pada setiap hari di PPR sekitar Kuala Lumpur mengikut jadual yang ditetapkan bermula jam 8.30 pagi sehingga 1.00 petang.

Penduduk, Mohd Hilmi Jasni bercakap kepada media pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

Mohd Hilmi Jasni, 28, berkata, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan amat membantunya dalam membeli barangan keperluan asas dengan tawaran harga yang amat berbaloi berbanding membeli di pasar raya luar.

“Ye memang membantu menjimatkan, lepas tu dengan harga lagi memang berpatutanlah. Saya lihat banyak perbezaan, kalau dekat kedai lebih RM20 ke atas, dekat sini ada barang hanya RM10, bawah RM20 pun ada.

“Terima kasih banyak pada MAIWP kerana melaksanakan program macam ini dan ia perlulah diteruskan sebab orang tak berkemampuan boleh datang beli bawah rumah sahaja,” katanya.

Penduduk, Rosnah Hasim bercakap kepada media pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

Bagi Rosnah Hashim, 64, memaklumkan bantuan tambahan RM150 yang diberikan MAIWP secara e-wallet memudahkannya untuk membeli belah menggunakan Booster.

“Sungguh membantu kami sangat-sangat. Kalau ikutkan barangnya ada je mahal dan murah tapi jimat cukup-cukup untuk kamilah. Bantuan e-wallet tu bantu kami beli guna Booster bagus juga,” jelasnya. – MalaysiaGazette