Kali terakhir Nani dilihat memakai baju berwarna putih berada di hentian bas kawasan Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Seorang wanita berstatus orang kelainan upaya (OKU) lembam dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Teluk Kumbar, di sini, sejak semalam.

Kehilangan Siti Naznani Mohd Najib, 35, disedari keluarga jam 10 pagi semalam sebelum dia dilaporkan dilihat kali terakhir berada di hentian bas Teluk Kumbar kira-kira jam 10 pagi.

Kakaknya, Siti Nazreen berkata, adiknya yang mesra dengan panggilan Nani dilihat memakai pakaian warna putih sebelum meninggalkan rumah mereka.

“Kami dihubungi orang awam yang mendakwa Nani bertanyakan kepadanya mengenai bas bagi ke jeti di George Town sebelum meminta individu berkenaan membayar tambang untuknya.

“Dakwaan itu lebih membuatkan kami risau dengan keselamatannya susulan dia tidak pernah naik bas atau keluar rumah seorang diri.

“Setakat ini kami sudah mencarinya di sekitar bahagian pulau termasuk di kawasan jeti selain menularkan maklumat mengenai kehilangannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Siti Nazreen, satu laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Teluk Kumbar berhubung kehilangan Siti Naznani susulan pencariannya menemui jalan buntu.

“Saya rayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nani boleh menghubungi saya di talian 017 405 0530, 011 5700 9390 atau tampil ke balai polis terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast