Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada wakil jabatan dan sahabat korporat pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji & Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1444H/2023M di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 2 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kos bagi menunaikan ibadah haji dijangka meningkat dua kali ganda sehingga mencecah 11 peratus pada tahun depan.

Menurut Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar, faktor penting yang menyebabkan peningkatan ketara kos berkenaan adalah situasi ekonomi semasa pasca pandemik Covid-19.

Katanya, sebelum ini TH memang menjangka akan berlaku kenaikan kos menunaikan ibadah tersebut namun ia hanya sekitar lima hingga enam peratus sahaja.

“Kita menjangkakan memang berlaku kenaikan setiap tahun bagi kos haji iaitu sekitar lima hingga enam peratus setiap tahun untuk jangka panjang.

“Namun disebabkan pandemik Covid-19, kita menjangka kenaikan yang lebih termasuk peningkatan kadar inflasi, situasi mata wang semasa malah Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sekitar lima hingga enam peratus.

“Selain itu, Kerajaan Arab Saudi turut melakukan perubahan pada sistem mereka termasuk bagi permohonan visa… ini semua mempengaruhi kenaikan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Bagi Musim Haji 1444H/2023M di Dewan Besar TH hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im ketika berucap pada majlis yang sama berkata, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi mengurangkan beban jemaah haji golongan B40 dan M40.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan sekiranya bakal-bakal haji akan datang memenuhi konsep ‘istito’ah atau berkemampuan.

“Bantuan Kewangan Haji yang diberikan oleh TH musim haji lalu sahaja mencecah RM265 juta.

“Melihat kepada jumlah perbelanjaan besar yang perlu ditanggung oleh Tabung Haji, ‘istito’ah’ amat dialu-alukan atas kesedaran untuk membuat bayaran penuh kos haji bagi membolehkan TH menumpukan bantuan kewangan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Jemaah yang memilih untuk membayar penuh bayaran haji yang dikenakan bukan sahaja menghayati konsep istito’ah tetapi insya-Allah akan meraih lebih barakah daripada ibadat haji mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette