Buku My Story: Justice in the Wilderness’. yang ditulis oleh Tommy Thomas.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi sebentar tadi menolak permohonan Pasukan Petugas Khas (STF) dan kerajaan bagi membatalkan saman yang dikemukakan oleh Tan Sri Tommy Thomas terhadap mereka.

Saman ini berkaitan laporan siasatan mengenai kandungan memoir bekas Peguam Negara itu yang bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh melalui prosiding sidang video memutuskan beliau masih belum bersedia untuk batalkan saman tersebut dan mahu saman pemula oleh Thomas itu ditukar kepada writ saman.

Ini bermakna saksi-saksi yang dinamakan akan dipanggil beri keterangan bagi perbicaraan saman fitnah dalam prosiding yang akan ditetapkan kelak.

Tommy bekas Peguam Negara itu pada 27 Oktober tahun lalu telah memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” tidak sah dan bertentangan undang-undang.

Pasukan khas ini ditubuhkan ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri manakala buku tulisan Tommy itu mendedahkan kehidupan dan pengalamannya sebagai peguam.

Beliau turut menulis tentang tugasnya selaku Peguam Negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020.

Ketika itu, beliau telah menamakan pengerusi dan ahli STF serta Kerajaan Malaysia selaku defendan iaitu Datuk Seri JC Fong dan ahlinya Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Suri.

Dakwa Tommy STF adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Beliau juga mohon perisytiharan penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan

Laporan STF yang dinyahklasifikasikan kerajaan antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan telah dilakukannya.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.