Pelajar-pelajar baharu UPM melafazkan ikrar Rukun Negara dalam program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Institut Pendidikan Tinggi di UPM, hari ini.

SERDANG – Seramai 3,200 pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) melafazkan ikrar Rukun Negara dalam program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Institut Pendidikan Tinggi di UPM, hari ini.

UPM merupakan universiti pertama dipilih oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk pelajar-pelajar baharu melafazkan ikrar Rukun Negara dalam siri Kembara Perpaduan KPN.

Pengerusi Jemaah Pengetua UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah berkata, program yang dibuat sempena Minggu Perkasa Putra bagi sesi 2023/2024 itu menyokong aspirasi nasional untuk memperkukuh semangat kenegaraan yang kental terutamanya dalam kalangan mahasiswa.

“Oleh kerana Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya, agama, dan latar belakang, konsep Malaysia Madani memerlukan kita untuk menjadikan kepelbagaian ini sebagai sumber kekuatan dan persamaan, bukan sebagai punca perpecahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, UPM menyokong hasrat KPN untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum, semangat patriotisme dan kenegaraan serta penjenamaan Rukun Negera di peringkat universiti.

Selain pelajar UPM, seramai 300 staf UPM dan KPN turut melafazkan ikrar Rukun Negara termasuk Ketua Setiausaha KPN, Datuk Azman Mohd Yusof, dan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Fatin Amira Mohd Hisham.

Program Eksplorasi Rukun Negara tersebut merupakan antara program menarik untuk pelajar-pelajar baharu UPM Sesi 2023/2024 melalui program Minggu Perkasa Putra UPM dari 2 hingga 7 Oktober 2023. – MalaysiaGazette