KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memperincikan bentuk perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung serahan semula aset yang dipindahkan daripada Syarikat Tujuan Khas (SPV).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Azman kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkenaan langkah permulaan perbincangan yang akan dibuat.
“Apa sahaja, saya percaya perbincangan ini akan memastikan kepentingan kerajaan dan juga kepentingan pendeposit Tabung Haji…itu yang paling utama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1444H/2023M di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung tindakan TH mengenai aset agensi itu yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas untuk dipulangkan.
Menurut Perdana Menteri, pemulangan semula aset itu susulan prestasi pengurusan TH yang semakin baik serta pemulangan aset itu akan dilaksanakan secara berperingkat.
Malah, katanya, tindakan itu sekaligus menjawab tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan ketika itu mendakwa aset TH dijual kepada bukan Islam.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH akan mengenal pasti aset-aset yang akan dipulang dengan menilai serta mengambil kira keseluruhannya.
“Saya percaya bahagian pelaburan TH akan memainkan peranan yang penting dalam perbincangan ini,” ujarnya.
Pada 2018, TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (Urusharta Jamaah), SPV yang dimiliki Kementerian Kewangan bagi memantapkan kedudukan kewangannya.
Aset yang dipindahkan itu terdiri daripada gabungan pegangan ekuiti, hartanah dan aset perladangan yang tidak tersenarai.
Aset hartanah yang dipindahkan ke Urusharta Jamaah termasuk 0.63 hektar tanah di Tun Razak Exchange (TRX).
Sebagai pertukaran kepada aset itu, Urusharta Jamaah menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan saham boleh ditebus boleh ditukar Islam (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion.
Terbitan sukuk oleh Urusharta Jamaah itu telah memberikan TH pulangan sebanyak 4.0 peratus atau lebih kurang RM800 juta setahun.
TH mempunyai hak penolakan pertama untuk mendapatkan semula aset dari Urusharta Jamaah sekiranya aset-aset berkenaan memenuhi strategi perniagaan TH dan nilai tambah yang akan memberi manfaat kepada pendepositnya.
Sebelum penstrukturan semula, liabiliti TH melebihi aset sebanyak RM10 bilion yang menghalang TH membayar hibah kepada pendepositnya.
Akta Tabung Haji 1995 mensyaratkan hibah atau dividen tidak boleh dibayar jika tanggungan (hutang atau liabiliti) TH melebihi aset sedia ada. – MalaysiaGazette