PUTRAJAYA – Permohonan baharu dan sedia ada bagi pekerja asing untuk tiga sektor perkhidmatan, iaitu tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas, akan dibuka semula 10 Oktober depan.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, permohonan itu dibuka semula selepas dibekukan pada 2009 kerana mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha tiga sub sektor berkenaan.
“Perkara ini telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 September di mana kerajaan bersetuju untuk memberikan kelulusan seramai 7,500 pekerja asing dibawa tiga sub sektor ini,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.
Langkah itu, kata Sivakumar, adalah berdasarkan kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga sub sektor berkenaan.
Jumlah 7,500 itu merangkumi 5,000 pekerja asing sedia ada dan 2,500 adalah permohonan baharu.
Kriteria bagi sub sektor tukang emas, sebanyak 15 peratus daripada jumlah pekerja tempatan diperuntukan untuk keluasan lantai sama atau melebihi seribu meter persegi.
Manakala bagi sub sektor gunting rambut pula seroang pekerja tempatan bersamaan dengan dua pekerja asing dengan kapasiti tiga kerusi.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, tempoh penggajian bagi ketiga-tiga sub sektor adalah mengikut dasar semasa 10 tahun tambah tiga tahun.
“Bagi pekerja sedia ada yang telah memenuhi tempoh penggajian 10 tahun tambah tiga tahun perlu dihantar pulang,” katanya.
Malah, permohonan pembaruan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh dibuat pada 10 Oktober depan.
Jelas Sivakumar, permohonan dibuka sehingga kuota yang ditetapkan oleh kerajaan dipenuhi dan tiada lanjutan permohonan dibenarkan.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu namun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja, melibatkan tiga sektor berkenaan. – MalaysiaGazette