Sebahagian pelajar sekolah yang memakai topeng muka kerana terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 162 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 1 petang ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR- Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU, sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu
dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, ia merupakan antara tindakan yang akan dilakukan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) berpandukan kepada tahap amaran tertentu yang ditetapkan mengikut status kualiti udara iaitu bacaan IPU dan petunjuk kepada kesihatan awam.

Langkah lain ialah NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan IPU melebihi 150
bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Malah, semua aktiviti di luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Sehubungan itu, JAS bersama Kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam pengemaskinian PTJK.

Dalam kenyataannya, Wan Abdul Latiff berkata, kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati masih merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Bagi menangani situasi berjerebu di dalam negara, kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.

Setakat jam 10 malam ini, Cheras merekodkan bacaan IPU 157; Putrajaya 126.

Di Selangor, Petaling Jaya 152; Shah Alam 148; Banting 153 dan Johan Setia 108.

Di Seremban pula, Nilai merekodkan IPU 159. Seremban 153 dan Port Dickdon 132.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh melayari laman web http://apims.doe.gov.my untuk maklumat lanjut berhubung bacaan IPU semasa. – MalaysiaGazette