KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar dan pemborong beras, Syarikat Faiza Sdn. Bhd. tidak pernah menyorok bekalan beras tempatan.
Pengurus Cawangan Tengahnya, Jadwa Abu Bakar berkata, sebelum beras putih import dinaikkan harga, bekalan beras tempatan di kilang itu telah habis terjual menyebabkan pihaknya sendiri kekurangan bekalan.
Beliau berkata demikian berikutan isu kekurangan beras itu di beberapa negeri sejak kebelakangan ini hingga menyebabkan orang ramai terpaksa membeli beras import yang mahal harganya.
Menurut Jadwa, kilang mereka juga tidak terkecuali diperiksa oleh pihak kawal selia bagi memeriksa stok dan rekod belian serta jualan sedia ada dan Syarikat Faiza tidak berdepan masalah dalam hal itu kerana tiada apa yang hendak disembunyikan.
“Bagaimanapun, kami baru mendapat surat dari pihak kawal selia padi dan beras yang sedang berusaha mengatasi masalah ini dengan berjanji akan memastikan kilang padi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan swasta membekalkan stok beras mentah tempatan kepada pemborong-pemborang termasuk kami,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jadwa berharap janji bekalan itu dapat dipulihkan agar pihaknya meneruskan membekalkan beras tempatan jenama Faiza kepada para pelanggannya seperti biasa.
Katanya, sekiranya semua pihak dari peringkat petani, pelesen dan kilang padi swasta memberikan kerjasama, negara ini akan dapat mengatasi isu ketiadaan stok beras tempatan ini.
“Tetapi kami juga berharap agar keadaan akan kembali normal secepat yang mungkin. Apa yang kami dengar, keadaan akan menjadi normal semula pada tahun hadapan bergantung pada hasil penanaman padi negara,” katanya.
Sementara itu, Syarikat Faiza adalah sebuah syarikat yang telah diasaskan oleh Faiza Bawumi Sayed Ahmad iaitu seorang usahawan wanita terkemuka di Malaysia.
Beliau mula berniaga dalam perniagaan peruncitan seawal 1968 lagi dan telah menubuhkan Syarikat Faiza pada tahun 1980.
Kemudian pada tahun 1992, Syarikat Faiza secara rasminya diperbadankan di bawah Syarikat Faiza Sdn Bhd (SFSB) dan menjadi antara pengedar beras yang utama di Malaysia. – MalaysiaGazette