Home Nasional Bekas pengerusi koperasi kemuka butir matan palsu ditahan SPRM

Bekas pengerusi koperasi kemuka butir matan palsu ditahan SPRM

 

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengerusi koperasi yang bergelar Datuk Seri berjaya diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000.

Sumber berkata, suspek seorang warga tempatan berusia dalam lingkungan 60-an dipercayai ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM yang terletak di ibu negara.

Kata sumber, suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020 hingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengerusi koperasi tersebut.

“Suspek dipercayai mengemukakan tuntutan pembayaran khidmat nasihat bagi projek di negeri Johor dan bayaran pendahuluan bagi projek pembangunan bercampur di Kuala Selangor sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.

Seorang bekas pengerusi sebuah koperasi bergelar dato seri ditahan SPRM kerana disyaki memalsukan butir matan. Ihsan SPRM KL

Susulan penahanan suspek tersebut, SPRM telah memohon reman di Mahkamah Majistret 1 Kuala Lumpur pagi tadi.

Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim yang mendengar permohonan SPRM itu membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Oktober 2023 terhadap suspek untuk membolehkan siasatan lanjut kes tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan penahanan suspek tersebut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast