A.A Anbalagan

SERI KEMBANGAN – Seorang jurugambar wanita kerugian RM18,800 selepas diperdaya seorang penganggur yang menyamar sebagai ahli perniagaan.

Suspek menyakinkan pengadu bahawa dia mempunyai masalah perniagaan dan mahu meminjam wang daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, polis telah menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 36 tahun mengenai insiden itu pada 29 September lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian pada 21 Jun lalu, mangsa telah berkenalan dengan suspek selama dua minggu menerusi laman Twitter pada 21 Jun lalu.

“Pengadu telah berjumpa kali pertama dengan suspek lelaki itu di Puchong dan beberapa lokasi lain sekitar Kuala Lumpur dan dalam pertemuan mereka suspek memperkenalkan dirinya seorang ahli perniagaan di syarikat minyak di Sarawak dan hubungan mereka jadi rapat sebelum suspek berjaya memuji pengadu menjadi kekasih.

“Suspek mula menyakinkan pengadu kononnya dia mempunyai masalah perniagaan dan mahu meminjam sejumlah wang daripadanya dan pengadu yang terpedaya dengan kata-kata suspek telah menyerahkan wang tunai RM18,800 menerusi 15 kali transaksi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pada 29 September lalu pengadu dan suspek merancang bercuti dan semasa berada di tempat penginapan, pengadu telah terjumpa kad pengenalan suspek dan mendapati nama suspek bukan seperti yang diketahuinya.

Tambah beliau, pengadu kemudian telah membuat carian di laman Google yang mendapati lelaki itu pernah menipu perempuan lain untuk menjadi kekasihnya.

“Bertindak atas laporan mangsa itu pada hari sama jam 8.30 malam polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan di Pusat Peranginan Cherating, Kuantan untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurut Anbalagan, suspek telah direman selama lima hari sehingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan mendapati suspek seorang penganggur yang berusia 44 tahun dan berasal dari Sarawak dan modus operandi suspek adalah dengan berkenalan dengan perempuan dalam laman sosial.

Suspek memperdaya mangsa dengan mengaku sebagai ahli perniagaan atau jutawan yang akan meminjam wang daripada mangsa bagi kegunaan peribadi, tambahnya.

Sementara itu, Anbalagan meminta wanita yang mengjadi mangsa suspek membuat laporan polis. – MalaysiaGazette