pembakaran terbuka nik nazmi nik ahmad el nino
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang meneliti potensi membangunkan industri pertengahan dan hiliran bagi industri mineral negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bagi memastikan potensi ekonominya dapat direalisasi sepenuhnya sekaligus tidak hanya bergantung kepada pengeksportan mineral mentah.

“Pelaburan berkualiti komitmen daripada kerajaan-kerajaan negeri akan dapat memastikan industri yang diwujudkan memberi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang pertama.

Menurut Nik Nazmi, mesyuarat tersebut merupakan forum bagi memperincikan isu industri mineral negara serta membantu mempercepatkan proses pembuatan keputusan berkaitan industri mineral, disamping menggalakkan kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam aspek pengurusan isu-isu berkaitan mineral.

Sehubungan itu, beliau berharap JKPPIM akan dapat memastikan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam negara dilaksanakan secara bertanggung jawab dan mampan demi menjaga kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara.

Sebagai rekod, JKPPIM yang yang bertanggungjawab ke atas mineral ditubuhkan 8 Mei lalu dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara 2 (MMN2).

Jawatankuasa berkenaan juga berperanan untuk melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral contohnya untuk pengekstrakan unsur nadir bumi (REE).- MalaysiaGazette