Mendiang T. Nhaveen

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebas dan melepaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh dan mencederakan mangsa buli T. Nhaveen, enam tahun lepas.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membebaskan S. Gopinaath, 32, J. Ragesuthan, 24, dan S. Gokulan, 24, dan dua lagi yang ketika kejadian remaja di bawah umur selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata mahkamah mendapati terdapat percanggahan versi keterangan saksi mengenai beberapa tempat kejadian dan kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi penting iaitu rakan mangsa dikenali sebagai Preevin.

“Pihak pendakwaan juga tidak dapat membuktikan niat tertuduh untuk bersama-sama membunuh atau mencederakan mangsa manakala kredibiliti saksi yang dipanggil sangat diragui mahkamah.

“Mahkamah telah meneliti, membuat pertimbangan dan menilai kes ini…justeru semua kelima-lima tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Kelima-lima rakan itu yang berada dalam kandang tertuduh saling berpelukan kegembiraan selepas mendengar keputusan tersebut.

Nhaveen, berumur 18 tahun ketika kejadian, cedera parah akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit, dekat sini, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur.

Rakannya, Preevin dilaporkan turut dipukul oleh kumpulan yang sama menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azhar Hamzah manakala Gopinaath, Ragesuthan dan Gokulan diwakili peguam Datuk Naran Singh dan peguam Maanveer Singh Dhillon serta Yagoo Subramaniam mewakili dua remaja itu.

Pada 19 Jun 2017, lima rakan itu didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Bukit Gelugor antara jam 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Selain itu mereka juga didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap Nhaveen mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Kelima-lima mereka turut didakwa menyerang Previin di lokasi, tarikh dan masa sama. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast