PUTRAJAYA – Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia memutuskan bermula awal tahun depan, prosedur permohonan dan pembaharuan sijil halal akan dipermudahkan dengan tempoh kelulusan sijil atau maklum balas dipendekkan kepada 23 hari bekerja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima banyak aduan bahawa kelulusan dan pengeluaran sijil halal dibuat dalam tempoh yang terlalu panjang sehingga memakan masa antara sembilan bulan hingga dua tahun.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia di sini hari ini berkata, Ahmad Zahid berkata Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Halal Development Corporation (HDC) akan bekerjasama rapat untuk memastikan perkara itu dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan tempoh permohonan sijil halal mengambil masa yang lama adalah disebabkan kekangan yang dihadapi oleh pemohon terutamanya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Bahagian Persijilan Halal Jakim.
“Terdapat permasalahan permohonan yang dikemukakan oleh PMKS, mungkin syarat-syarat tidak dapat dipenuhi terutama dari segi pengubahsuaian atau naik taraf premis bagi tempat-tempat pengeluaran produk, mungkin agak mahal tetapi kita akan lakukan penyelarasan permasalahan yang dihadapi itu,” katanya.
Sebagai permulaan kepada pelaksanaan keputusan itu, Ahmad Zahid berkata, HDC serta pihak berkaitan akan melaksanakan proses permohonan baharu sijil halal menerusi pembuktian konsep (POC) membabitkan lima premis perhotelan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi melihat kelancaran proses berkenaan.
“Buat POC dalam dua bulan, selepas dua bulan kami akan mulakan 23 hari bekerja sebagai penanda aras baharu untuk pensijilan halal dikeluarkan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk memperkasakan diplomasi halal dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan halal tempatan ke luar negara.
“Kita harus keluar daripada kepompong pasaran domestik produk-produk halal, maka Kementerian Luar dan MITI telah merencanakan supaya diplomasi halal dapat dilakukan secara bersama di dalam lawatan rasmi dan lawatan kerja kedua-dua kementerian dengan perdana menteri dan lain-lain menteri yang terlibat dalam keluaran produk atau perkhidmatan halal.
Kita ada sekurang-kurangnya tiga perjanjian di peringkat antarabangsa yang ada elemen halal di dalamnya dan kita akan proaktif semua agensi terlibat terutamanya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), HDC dan Jakim untuk melaksanakan diplomasi halal ini,” katanya. – Bernama