MELAKA – Semua kapal dagang yang berlabuh di sepanjang perairan Tanjung Kling di sini diarahkan menetapkan satu kawasan yang selari agar operasi mereka tidak menjejaskan sumber mata pencarian ratusan nelayan di negeri ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia diputuskan susulan perbincangan awal diadakan antara Pelabuhan Tanjung Bruas, Pelabuhan Klang, Jabatan Perikanan negeri, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan persatuan nelayan pagi tadi.
“Kita akan minta pelabuhan ini dan JLM selarikan semula lot parkir kapal-kapal besar mereka di plot-plot tertentu yang akan diperincikan dalam tempoh kurang sebulan lagi.
“ini supaya nelayan kita dapat menangkap ikan dalam keadaan tenang tanpa perlu risau pukat rosak akibat tersangkut pada kapal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pemantauan kawasan tangkapan ikan nelayan di perairan di daerah Melaka Tengah di Jeti Perlindungan Sumber, Banda Hilir di sini hari ini.
MalaysiaGazette minggu lalu melaporkan aktiviti puluhan kapal dagang yang berlabuh di perairan Tanjung Kling sejak tujuh tahun lalu terus menjejaskan ekonomi hampir 250 nelayan di tujuh pangkalan perairan Tanjung Kling.
Ketua Komuniti Nelayan Pangkalan Tanjung Kling, Aziz Jaapar mendakwa, aktiviti pelabuhan kapal dagang itu sekali gus menjejaskan sekuriti makanan negara jika dibiarkan berlarutan.
Masalah itu dialami nelayan di tujuh pangkalan iaitu Kampung Hailam, Pantai Puteri, Balik Bukit, Tanjung Keling, Sungai Lereh, Klebang dan Perigi.
Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, perbincangan hari ini juga menunjukkan respon yang positif daripada semua pihak terlibat.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri dan JLM akan terus memantau kapal-kapal ini supaya tidak dibiarkan berlabuh secara berselerak seperti sekarang ini sebaliknya dilabuhkan di plot-plot yang akan diselarikan itu.
“Sebenarnya masalah ini timbul apabila penambakan laut menyebabkan nelayan terpaksa bergerak keluar berhampiran zon yang sudah diwartakan tempat kapal-kapal ini berlabuh,” katanya. – MalaysiaGazette