TAIPEI – Taiwan mengeluarkan amaran Taufan Koinu yang semakin hampir dan mungkin mendarat akhir minggu ini.

Taufan itu akan membawa angin ribut dan hujan lebat ke bahagian tenggara pulau ini.

Biro cuaca mengeluarkan amaran darat pada Selasa selepas memaklumkan amaran laut lewat hari Isnin.

Taufan Koinu bergerak ke barat laut dengan angin berkelajuan 162kmj berhampiran pusatnya, menurut biro itu.

Ia dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ke bahagian selatan dan timur Taiwan awal Rabu dan berpotensi mendarat di bahagian tenggara pulau itu pada Khamis.

Pantai di Taman Negara Kenting, di hujung selatan Taiwan, ditutup kepada orang ramai pada hari Selasa.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan di tenggara Daerah Taitung menyenaraikan beberapa kawasan pantai dan pergunungan sebagai zon berpotensi bahaya.

Pihak berkuasa cuaca China berkata, taufan itu mungkin mendarat di suatu tempat di sepanjang pantai selatan Taiwan atau melepasi pulau itu tanpa mendarat dan bergerak ke arah barat dengan intensiti yang berkurangan dari petang Rabu hingga pagi Khamis.

Pihak berkuasa di bandar Zhangzhou di tenggara China meminta bot nelayan kembali ke pelabuhan menjelang petang Rabu dan menangguhkan perkhidmatan feri pada Khamis dan Jumaat.

Namun di Filipina, yang dapat mengelak daripada dilanda taufan secara langsung, tetapi biro cuaca telah mengeluarkan amaran ribut di sekurang-kurangnya enam wilayah utara dan memberi amaran tentang kemungkinan banjir dan tanah runtuh terutamanya di kawasan pergunungan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast