Allahyarham Hamid Gurkha.

KUALA LUMPUR – Isu tuntutan keluarga pelawak legenda, Allahyarham Hamid Gurkha terhadap Astro bakal berakhir tidak lama lagi.

Janji itu dimaklumkan oleh Ketua Saluran Astro Ria, Warna dan Prima, Norzeha Mohd Salleh dalam satu kenyataan di sini.

“Astro akan melunaskan pembayaran Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era (AME) 2021 yang dianugerahkan kepada arwah Hamid Gurkha,” katanya.

Pada masa sama, Norzeha turut memaklumkan pihaknya kesal atas segala kesulitan yang berlaku.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang berikhtiar untuk mencari jalan penyelesaian yang dirasakan terbaik.

“Pihak produksi sedang berurusan dengan keluarga arwah untuk menyelesaikan isu ini secepat yang mungkin,” katanya lagi.

Terdahulu, keluarga Hamid mengeluh kerana sehingga kini mereka masih menanti wang berjumlah RM10,000 selepas allahyarham menerima Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP AME 2021.

Hamid sepatutnya mendapat wang berjumlah RM10,000 namun tidak kesampaian apabila pelawak legenda itu meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu.

Apabila perkara itu dirujuk kepada Astro, syarikat penyiaran terbabit didakwa meminta ahli keluarga menyediakan pelbagai dokumen sebagai bukti tuntutan.

Anak Hamid, Nor Azian berkata, wang berkenaan dicadangkan untuk diserahkan sepenuhnya kepada ibu mereka sebagai tanda kasih sayang.

Sementara itu, Hamid, 90, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 14 Jun tahun lalu.

Bintang yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 tidak mengalami penyakit kronik sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kian uzur.

Hamid meninggalkanbalui, Timah Abdul Hamid, 80, selepas mendirikan rumah tangga selama enam dekad  sejak April 1957.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata namun dua daripadanya meninggal dunia.

Mereka juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit. – MalaysiaGazette