PASIR MAS – Bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Lemal, di sini, yang kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja dipertemukan kembali dalam majlis Penyatuan Semula (Reunion) SML76 kali ketujuh.
Majlis yang berlangsung di Aula UK Hall Padang To’ La itu menyaksikan kehadiran 130 bekas pelajar bersama pasangan masing-masing, iaitu perjumpaan yang dianggap paling berjaya berbanding pertemuan sebelum ini bagi mengeratkan silaturahim antara mereka sejak meninggalkan bangku sekolah.
Menurut pengerusinya, Ab. Halim Che Hassan, pertemuan kali ini memberi peluang kepada mereka untuk berjumpa rakan sebaya di samping mengingati rakan yang telah meninggal dunia.
“Hanya doa mengiringi sahabat yang sudah kembali menemui Pencipta. Mungkin pertemuan kali ini adalah yang terakhir bagi saya atau rakan-rakan lain.
“Terima kasih kepada rakan yang jauh dan dekat, selain ada yang keuzuran, namun dapat hadir juga dalam pertemuan ini.
“Persefahaman dan pemuafakatan yang berterusan mengekalkan ikatan silaturahim lebih erat,” katanya.
Menurut Ab. Halim, pertemuan yang diadakan lima tahun sekali itu menggamit kenangan lama ketika di alam persekolahan, bekerjaya dan dunia persaraan.
Majlis dimulakan denhan berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul selain doa selamat serta doa arwah ke atas rakan-rakan yang sudah kembali ke rahmatullah.
Majlis diserikan dengan acara cabutan nombor bertuah, ucapan daripada wakil kelas serta meraikan lima pasangan baharu dalam kalangan bekas pelajar dengan upacara memotong kek dan penyampaian cenderahati khas untuk pengantin baharu.
Dalam pertemuan itu, pelbagai kenangan lama serta pengalaman semasa alam persekolahan selain bertanya khabar mengenai kesihatan masing-masing.
Bekas pelajar tahun 1976 sekolah itu melahirkan ramai penjawat awam dari pelbagai kementerian dan swasta seperti polis, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Lembaga Kemajuan Tanah Kelantan Selatan (KESEDAR), jurutera dan ahli perniagaan. – MalaysiaGazette
Penulis: ismail Daud