Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin

BENTONG – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meminta penduduk Pelangai berdoa agar parti pimpinan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) tumbang bagi menghentikan episod kesengsaraan rakyat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat seharusnya bertindak sekarang dan tidak perlu lama bertahan diperintah di bawah Kerajaan Perpaduan.

”Pelangai ini walaupun dikatakan Pilihan Raya Kecil (PRK) tapi signifikannya besar, berapa lama lagi nak tunggu? Sudah 10 bulan tunggu, dua bulan sebulan lagi? Empat tahun lagi tahan lagi ke?

”Kita doa Allah jatuhkan dia dan naikkan PN, bukan masalah siapa nak jadi PN tapi selamatkan negara rakyat sedang menderita, wang tak ada, barang mahal. Kelak negara akan terumbang-ambing sebab kegagalan kerajaan.

”Walaupun kita pembangkang, mana tahu bila kita sudah jadi kerajaan, senanglah tugas kita, segala ketentuan Allah kita doa sahaja,” katanya ketika sesi ceramah di Felda Chemomoi di Pelangai malam tadi.

Ujar Muhyiddin, PN sudah merancang beberapa isu penyelesaian membabitkan mayarakat Felda di di kawasan berkenaan.

”Kalau menang kita jalan penyelesaian dan ikhtiar kita bincang macam mana di kawasan Felda ini yang ada di kawasan Pelangai, tiga kawasan utama.

”Isu pertama generasi kedua ketiga dapat kita atasi dalam tempoh tidak terlalu lama. Yang kedua, soal infrastruktur, masalah pekerjaan, soal harga macam isu yang dihadapi peneroka.

”Isu kos sara hidup, inflasi, kos barang naik, bekalan barang tak pernah cukup, tak pernah berlaku di negara ini. Kalau kita tengok yang berlaku ini macam di Somalia seperti negara miskin di Afrika,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.