Poster menunjukkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tiga lokasi hari ini bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengahari. Foto: Facebook Ehsan PKPS

KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang membeli barangan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tiga lokasi hari ini bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengahari.

Program diadakan di Padang Awam Batu Caves bagi Dewan Undangan Negeri Sungai Tua, Gerai MBSA MPKK Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Seksyen 17 (Batu Tiga) dan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Banting (Banting).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Kerajaan negeri Selangor membelanjakan subsidi sebanyak RM40 juta bagi melaksanakan jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat.

Lokasi terkini JER di seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau imbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS. – MalaysiaGazette