AMLA MACC Senior Enforcer US$6.94 million MEIO Hasanah case item Eric Chang 4 years old boy murder

RAUB – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang lelaki RM50,000 selepas mengaku bersalah melombong emas secara haram di Hutan Simpan Kekal Kechau dalam daerah Lipis, dekat sini, Mac lepas.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya juga memerintahkan Liew Lok Shong, 59, yang beralamat di Selangor, menjalani hukuman penjara 12 bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

Ahmad Faizadh turut mengarahkan sebuah jengkaut dan enjin air yang disita Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada hari kejadian dilucut hak kepada kerajaan negeri.

Liew didakwa melakukan perlombongan tanpa lesen atau pajakan yang sah di hutan tersebut pada 12.40 tengah malam, 10 Mac lepas, yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 Negeri Pahang.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan UPNP menemukan sebuah jengkaut dan enjin air ditinggalkan dalam keadaan masih beroperasi, selepas individu di situ menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Liew kemudiannya menuntut dan mengaku sebagai pemilik jengkaut tersebut.

Pemeriksaan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan di kawasan itu manakala ujian sampel jenis mineral di tempat itu oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesahkan ia mengandungi emas.

Pada prosiding itu, Liew yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan atas alasan dia kini bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan RM3,500, selain telah insaf.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa UPNP Taqiuddin Azizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan sama.

“Kes perlombongan haram menyebabkan berlaku ketirisan hasil yang tinggi kepada kerajaan negeri dan lebih teruk lagi ia mengganggu kelestarian alam sekitar,” katanya.

Pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP Muhamad Najmi Zaki.  – BERNAMA