Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 03 OKTOBER 2023.

BENTONG – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan penyertan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) di Pahang yang dikatakan mahu menyertai gabungannya.

Beliau berkata, PN terbuka menerima sokongan daripada mana-mana pihak sama ada rakyat atau ahli Parlimen yang mahu bersama mereka.

Jelas Muhyidin, PRK Pelangai adalah medan kepada rakyat majoriti Melayu memberikan isyarat jelas kepada gabungan itu mengubah kepimpinan kerajaan negeri.

”Saya minta satu, sokong PN, sokong calon kita, menang di Pelangai tambah satu jadi 18 kerusi,

”Pemberita bertanya saya ada empat Adun di sebelah sana (BN) nak sertai PN, ini bukan saya cerita bohong, parti kita melambangkan sikap terbuka. Kalau nak sertai kita Alhamdulillah,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di ceramah umum di Felda Chemomoi malam tadi.

Malah katanya, PN kini sedang berusaha untuk membentuk Kerajaan Negeri Pahang di mana ada peluang pertambahan kerusi sekiranya calonnya Kasim Samat menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ini.

”Esok kalau terbentuk kerajaan Perikatan Nasional di Pahang, Menteri Besar dah ada di situ, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

”Saya Pengerusi PN, mengatasi Presiden Pas mengumumkan calon MB dah tersedia,” katanya.

Media melaporkan terdapat poster tular dalam media sosial memaparkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal diisytiharkan sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya PN menang dalam PRK DUN Pelangai.

Terdapat juga desas-desus menyatakan sekiranya PN menang di Pelangai terdapat empat wakil rakyat daripada BN akan memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin akan mendapat majoriti lebih 27,000 undi di Kemaman tidak akan terkesan dengan pilihan raya yang akan diadakan semula nanti.

”Pas dah buat keputusan tidak akan merayu dalam kes Kemaman sebab mahkamah tidak menamakan sesiapa pun dalam kes itu.

”Bagi kami lebih suka bagi mandat kepada rakyat biar rakyat pilih semula. Jadi bila kita tidak buat rayuan kes Kemaman, maka tuan-tuan kena bersedia, jangan balik melainkan selepas Kemaman,” katanya malam tadi.

Terdahulu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Anselm setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi parlimen berkenaan. – MalaysiaGazette