Wan Rosdy Pas
Wan Rosdy Wan Ismail

BENTONG – Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pahang masih teguh di belakang kepimpinan Kerajaan Perpaduan peringkat negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan ada empat ADUN akan ‘melompat’ oleh Pengerusi Perikatan Nasional ternyata satu fitnah.

”Dan ini adalah satu kenyataan fitnah yang mereka keluarkan untuk mengelirukan rakyat, menakut-nakutkan rakyat kononya ada perubahan kerajaan

”Secara spontan saya tidak menghubungi mana-mana ADUN untuk membuat kenyataan malah bila mereka mendengar ada cerita yang begitu, mereka terus secara spontan menafikannya.

”Mereka (ADUN BN di Pahang)  berkumpul dan buat live menyatakan sokongan kepada kerajaan yang ada,” ujarnya di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menolak kemungkinan PN akan menubuhkan kerajaan negeri selepas pihaknya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pelangai.

Dalam pada itu, Wan Rosdy mengakui Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Pahang tidak dapat dilaksanakan berikutan tidak memperoleh sokongan dua pertiga atau 28 daripada keseluruhan 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ia ekoran dari  pihak pembangkang di negeri itu sebelum ini menyatakan tidak menyokong RUU itu dilaksanakan.

“Sebab mereka pembangkang menyatakan tidak menyokong. Kalau bawa sekali pun, mereka tidak sokong, tidak boleh juga.

“Sebab kita kerajaan tidak ada dua pertiga,  kita ada 25 sahaja. Untuk dua pertiga kita perlukan 28 ADUN,” katanya. – MalaysiaGazette