Kashif Ansari

KUALA LUMPUR- Kerajaan Perpaduan diharap dapat menawarkan pelbagai insentif dalam Bajet 2024 dalam membantu rakyat daripada pelbagai kelas untuk membeli kediaman mampu milik.

Pengasas Bersama Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, industri hartanah negara juga berharap Bajet 2024 nanti menyaksikan komitmen baharu kerajaan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman sendiri.

Jelas beliau, untuk memiliki kewangan yang stabil, keluarga memerlukan empat perkara mencukupi, perbelanjaan yang rendah, keupayaan untuk menyimpan  dan keselamatan di rumah mereka.

“Pemilikan rumah mampu milik membantu mencapai tiga daripada empat matlamat ini. Ia mampu mengurang dan menstabilkan perbelanjaan bulanan, memberi peluang mengumpul simpanan, dan menjamin pemilikan kediaman.

“Oleh itu, Bajet 2024 perlu mengandungi pelbagai langkah yang membantu lebih ramai keluarga mencapai pemilikan rumah mampu milik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pertama, kerajaan perlu memastikan setiap keluarga mempunyai lebihan pendapatan dengan mengurangkan cukai kepada keluarga berpendapatan sederhana.

Dengan lebih banyak pendapatan boleh guna, keluarga akan lebih mampu untuk memiliki rumah sendiri.

“Kerajaan juga boleh mengambil pendekatan bersasar dengan menyediakan geran untuk pembeli rumah, memberi subsidi kadar faedah yang lebih rendah untuk ahli kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu mengurangkan cukai dan duti setem apabila membeli atau melaksana gadai janji.

“Satu program yang berjaya yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

“Angka terakhir menunjukkan HOC membantu keluarga menjimatkan RM15.8 bilion berbanding jumlah yang sepatutnya mereka bayar untuk membeli 117,538 rumah.

“Jumlah jualan HOC ditambah sehingga RM92.5 bilion setakat Julai 2022,” ujarnya.

HOC telah berjaya dan membantu lebih daripada 100,000 keluarga membebaskan diri daripada masalah kewangan.

“Satu langkah terakhir yang boleh dilaksanakan oleh Bajet 2023 ialah mengurangkan kos pembinaan,” kata beliau lagi.

Kashif menambah, data Building Cost Information Services Malaysia menunjukkan kos simen Portland 50% lebih tinggi pada September berbanding setahun lalu.

Kos konkrit siap campur meningkat sebanyak 23% manakala kos pasir naik 18%.

Apabila harga bahan asas meningkat dengan cepat untuk setiap belanjawan pembinaan, ia membawa kepada rumah baharu yang lebih mahal.

Akibatnya, kata Kashif, rumah menjadi kurang mampu milik.

“Kerajaan mempunyai alat untuk mengurangkan kos input ini. Banyak bahan sama ada diimport atau bergantung kepada bahan atau komponen yang diimport.

“Dengan mengurangkan levi import, Belanjawan 2024 boleh membuat perumahan lebih mampu milik. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mansuhkan bayaran cukai visa kepada pelancong asing kurang mampu yang melancong sambil cari makan macam penjajah British dulu bawa masuk buruh asing timah dan getah supaya sejarah penganiayaan majority Melayu bumiputera berulang kembali.

Comments are closed.