JASIN – Bagi membantu pusat tahfiz dan maahad di seluruh negara menjana pendapatan sendiri, sebuah syarikat pembekal daging perap tampil membantu institusi itu supaya tidak terlalu bergantung kepada sumbangan orang ramai.
Pengarah Aqiil Sdn Bhd, Muhammad Khoiri Sahat, 33, berkata, idea itu timbul selepas dikunjungi sebuah persatuan tahfiz bulan lalu untuk berbincang usaha lain yang boleh dilakukan untuk mengumpul dana.
“Hasil perbincangan, saya bersetuju untuk mengeluarkan produk kambing, ayam dan daging perap kami di bawah jenama Perap 99 menggunakan nama Maulana Kitchen khas untuk jualan pusat tahfiz dan maahad di seluruh negara.
“Untuk produk jenama Maulana ini, kita keluarkan pek 700 gram daging harimau menangis dan kambing perap pada harga paling rendah iaitu hanya RM35 yang mana sebahagian hasil jualan itu akan disalurkan kepada pusat tahfiz.
“Mereka tidak perlu modal atau pegang stok, sebaliknya hanya berdaftar dengan kami sebelum diberikan pautan sesawang untuk dikongsikan kepada pembeli dan setiap pembelian melaluinya akan diberikan komisen,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Melaka Halal Hub, Serkam di sini semalam.
Menurutnya, dia bersyukur apabila usaha itu dipermudahkan dan sehingga kini terdapat kira-kira 500 pusat tahfiz dan sekolah pondok sudah berdaftar sebagai orang tengah untuk mempromosikan Maulana Kitchen.
“Hanya dalam tempoh tiga minggu, ada pusat tahfiz ini yang mencatat keuntungan RM1,000 malah ada yang berjaya menjual 900 pek produk kami yang mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Sasaran kita adalah untuk tiga bulan akan datang setiap pusat tahfiz ini mampu meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000,” katanya.
Muhammad Khoiri yang merupakan pelajar pengajian Islam berkata, latar belakangnya berasal daripada keluarga susah selain pernah gagal dalam perniagaan mendorongnya untuk terus membantu meningkatkan ekonomi masyarakat Islam di negara ini.
“Saya pernah hidup susah sampai ke tahap seharian perut hanya beralaskan sekeping roti canai kerana tidak mempunyai wang untuk beli makanan lain.
“Sebab itu, saya sudah niatkan perniagaan Aqiil yang diambil sempena nama dua anak lelaki ini bukanlah untuk menjadi kaya, tapi sekadar cukup dan dapat membantu masyarakat sekeliling.
“Alhamdulillah, walaupun perniagaan ini baru berusia dua tahun, kami mampu menawarkan khidmat pengilang peralatan asal (OEM) di bawah jenama pelanggan lain.
“Setakat ini, Aqiil mampu mengeluarkan satu tan daging sehari kepada pembekal di seluruh negara dan boleh ditingkatkan sehingga 2.5 tan sehari,” katanya. – MalaysiaGazette