Kereta Proton Saga viral dipandu secara melulu menggunakan siren polis dan lampu kecemasan di Seri Kembangan ditahan semalam selepas menyerah diri di IPD Serdang

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta Proton Saga yang dipandu secara merbahaya menggunakan lampu siren polis dan indikator kecemasan di Jalan Serdang Perdana, Seri Kembangan  dekat sini Selasa lalu akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA.Anbalagan berkata, suspek seorang lelaki berusia 22 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Serdang semalam.

“Lelaki itu mengaku memandu kenderaan dan menggunakan siren seperti yang diviralkan di media sosial. Hasil siasatan mendapati, lelaki itu yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan telah meminjam kereta rakannya di Port Dickson, Negeri Sembilan kerana mendakwa ada kecemasan keluarga,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Anbalagan, siasatan lanjut polis juga mendapati kereta itu merupakan milik ibu rakannya yang berumur 65 tahun yang merupakan seorang peniaga di Port Dickson.

“Keterangan semua individu yang terlibat dalam kes ini telah diambil dan pemandu itu telah diberi jamin polis selepas selesai dirakam keterangan sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

“Pada masa yang sama, kereta siren yang dipandu melulu itu juga telah dirampas bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Kes juga sedang disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengakutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette