KOTA KINABALU – Berbekalkan kekuatan semangat untuk mencapai hasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), salah seorang pelajar baharu UMS dalam ketegori B40 berjaya merealisasikan impiannya setelah terpaksa menolak tawaran kemasukan ke universiti tiga tahun lalu kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan.
Kimson Albert, 22 tahun yang berasal dari Kampung Murut, Kalabakan akhirnya bergelar pelajar baharu UMS setelah dua tahun gigih mengumpul wang dengan bekerja di kampung halaman sendiri.
Menceritakan semula tentang tawaran kemasukan ke universiti yang ditolaknya tiga tahun lalu, Kimson menjelaskan selepas menamatkan pengajian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2019/2020, beliau telah membuat permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU).
“Saya memang dapat tawaran melalui sistem UPU iaitu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Namun, memikirkan universiti tersebut agak jauh dan keadaan kewangan keluarga
yang kurang stabil pada waktu itu, saya terpaksa menolak tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS.
Beliau kemudiannya memutuskan untuk bekerja dan menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjana kewangan dan membantu bapanya yang merupakan pekerja di ladang kelapa sawit.
“Selepas dua tahun bekerja, saya dapat mengumpulkan wang yang cukup dan saya membuat permohonan baru di UPU menggunakan keputusan STPM saya yang lepas.
“Pada akhirnya saya dapat tawaran di UMS dengan jurusan yang saya minati iaitu Geografi,” katanya yang melahirkan rasa syukur kerana pada kali ini mempunyai kewangan yang mencukupi hasil dari pekerjaannya yang membolehkan dia membayar yuran pendaftaran bagi semester pertama pengajian.
Malah, Kimson berkata, ahli keluarga yang lain juga ada membantu dalam kewangan sepanjang proses kemasukan ke UMS.
“Saya juga akan membuat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menambah keperluan kewangan pada semester yang seterusnya,” katanya.
Kimson yang merupakan anak sulung dari tiga beradik turut menyatakan harapannya agar selepas tamat pengajian, beliau bercita-cita untuk memasuki profesion perguruan dan mengajar di sekolah tempat kampung halamannya, sekali gus mahu mengubah nasib keluarganya. – MalaysiaGazette